© 2017, hakmilik peribadi Hafizul Faiz.  Hubungi di hafizulfaiz92@gmail.com

May 26, 2017

Please reload

Recent Posts

WATAK-WATAK DALAM DIRI YANG MEMBERONTAK

May 20, 2017

1/1
Please reload

Featured Posts

SURAT KEPADA MARYAM: MENGGELEDAH 'ABDUH

May 21, 2017

 

 

Apa khabar Maryam? Seringkali saya scroll di Facebook dan melihat status-status awak, saya senyum seorang diri. Maryam yang saya kenal ialah Maryam itulah juga. Seorang polos tetapi berkeyakinan penuh pada sesuatu perkara. Tidak, saya tidak kata awak tidak berubah, banyak tentunya perubahan yang berlaku. Tentu saujana pemikiran awak mula meluas lagi dengan buku demi buku yang awak baca dan habiskan. Tentu juga pemikiran itu memberi kesan kepada tindakan dan momentum kehidupan awak. 

 

Senja di Edinburgh sungguh sunyi. Sebenarnya kesunyian ialah kehidupan saya di sini. Kesunyian adalah makhluk yang sentiasa ada dalam diri kita. Meskipun kita ramai kawan dan kita begitu riuh, kesunyian tetap galak dengan caranya sendiri. Kesunyian inilah yang melahirkan kata-kata, nuansa rasa, dan mandala estetika yang padat dan indah. Dan kesunyian ini jugalah membuatkan saya menulis surat ini. 

 

Saya membaca alfu lailah wa lailah, 1001 malam, diterjemahkan kepada The Arabian Nights oleh Daniel Heller-Roazen. Karya ini adalah antara karya sastera yang besar lahir di zaman Safavid memerintah di India. Pada asalnya kitab ini berbahasa Parsi, ada yang mengatakan ia berbahasa Arab. Tetapi kitab ini, atau sebenarnya sebuah novel panjang, dengan pelbagai bahasa sekalipun tetap menyajikan kisah-kisah yang bermoral tinggi. 

 

Selang itu saya masih lagi gagal menghabiskan Islam: The Essentials karya Tariq Ramadan. Semua hal yang Tariq Ramadan bicarakan hal-hal prinsip dan asas dalam Islam, namun dengan interpretasi dan viewpoint yang baru. Hemat saya, karya ini perlu dan mendarat pada waktu yang tepat. Masyarakat hari ini bertelagah kerana kurangnya kefahaman asas kepada elemen-elemen yang asas. Perkara asas selama ini barangkali disampaikan dengan sangat superfisial sehingga ia terlalu goyah dan kegoyahan ini menyebabkan timbulnya salah faham dan pemikiran dogmatik melampau. Lihat sahaja bagaimana masyarakat masih gagal membezakan antara model dan prinsip. Misalnya, RUU 355 hanyalah model, bukan prinsip. Ketidaksetujuan terhadapnya hanyalah ketidaksetujuan terhadap model, bukan menentang prinsip Islam. Namun ketidaksetujuan itu dianggap suatu pengkhianatan dan pertentangan. 

 

Beberapa buku yang saya tempah melalui Amazon juga selamat sampai. Antaranya naskhah yang paling menarik dari Katarjun Amirpur berjudul New Thinkings in Islam. Katarjun Amirpun mengupas segala pemikiran kontemporari yang diperkenalkan oleh pemikir-pemikir semasa seperti Aminah Wadud, Fazlur Rahman, Nasr Hamid Abu Zaid, Asma Barlas, 'Abdolkarim Soroush dan Mohammad Mojtahed Shabestari. Awak mungkin lebih mengenali mereka ini berbanding saya sementelah awak mengambil jurusan yang berkaitan. 

 

Meskipun mereka saling mengkritik, dan ada yang bertentangan antara satu sama lain, tetapi melihat kepada warna-warni pemikiran-pemikiran kontemporari ini melahirkan semacam suatu rasa yang segar. Kebanyakan perbezaan pemikiran mereka bertitik tolak kepada suatu perkara sahaja, iaitu interpretasi kepada ayat-ayat al-Quran. Apabila interpretasi berbeza, maka dapatannya juga berbeza. Hal ini mengingatkan saya tentang sejarah bagaimana bermulanya idea-idea baharu tentang pelaksanaan Islam di zaman awal abad ke-19 ketika al-Afghani datang dengan idea pan-Islamism-nya. Sekaligus mengingatkan saya tentang suatu saat ketika kita berkampung di tingkat tiga bahagian sayap sebelah kanan menggeledah riwayat hidup tiga tokoh utama ini; Jamal al-Din al-Afghani, Muhammad 'Abduh dan Rashid Rida. 

 

Segar malar. Kenangan menjadi bundar. Bergerak dalam siklus waktu yang tidak berhenti berputar. Bagaimana agaknya saat itu dalam benak kenangan awak? Ada beberapa nota tambahan kepada nota yang kita hasilkan bersama. Tentang al-Afghani misalnya, Katarjun menjawab persoalan yang kita tak mampu jawab iaitu di manakah tempat lahir sebenar beliau. Kata Katarjun beliau lahir di Iran tetapi mengambil nama "al-Afghan" kerana beliau tidak mahu dilabel Syiah yang hanya akan menyekat idea-ideanya dari mengalir deras ke dasawarsa massa. Saya setuju dengan Katarjun, dan saya terkejut dan kagum dengan pilihan al-Afghan. Dia tahu, pelabelan hanya akan meremehkan idea-idea besar yang ingin disampaikan. 

 

Secara asasnya al-Afghani membawa dua idea besar iaitu: kesatuan Islam dan keperluan islah dan pemodenan Islam. Hal ini menyebabkan nama al-Afghani cepat naik. Namun sayangnya karya al-Afghani tidak cukup untuk menampung kedua idea besarnya ini. Ia disinambungkan dengan baik oleh Muhammad 'Abduh dan Rashid Rida. 'Abduh lebih cenderung merembeskan unsur kenegaraan di dalam pengislahan agama kerana keperluannya pada waktu itu, khususnya Mesir. Beberapa perkara bercanggah antara 'Abduh dan al-Afghani. Al-Afghani mencadangkan perlunya proses pengadaptasian sistem barat dalam kerangka negara Islam pada waktu tersebut (di akhir fatrah kejatuhan Uthmaniah 1924). Namun 'Abduh tidak bersetuju dan percaya bahawa untuk membangun Mesir memerlukan sistem pendidikan tersendiri yang lebih memesrai dan sesuai dengan social setting. Di sini fahamlah kita betapa 'Abduh sangat passionate dengan pendidikan dan menanam dengan baik idea al-Afghani dalam sistem pendidikan. 

 

1876 'Abduh menamatkan pengaijannya dan dua tahun kemudian dipilih menjadi pensyarah di Dar al-'Ulum. Dalam masa yang sama 'Abduh menjadi kolumnis di majalah Al-Ahram dan mengutarakan ideanya dengan bersungguh-sungguh. Disebabkan kritikannya terhadap British 'Abduh terpaksa meninggalkan Mesir setahun sebelum pulang semula ke Mesir dan mula menerbitkan akhbarnya sendiri bercerita tentang keperluan Islah pada waktu tersebut. 

 

Pada tahun 1882, 'Abduh terpaksa meninggalkan Mesir lagi setelah menyatakan prinsipnya terhadap kebangkitan 'Urabi menentang kerajan. 'Abduh bergerak ke Paris dan di sini bertemulah 'Abduh dengan gurunya semula, al-Afghani. Mereka bergabung dan mengeluarkan majalah al-Urwa al-Wuthqa yang bermaksud "The Strongest Bond". Di sini Maryam jika awak masih ingat saya ada tunjukkan beberapa salinan majalah al-Urwa al-Wuthqa dan bagaimana majalah ini memberikan suluhan yang cerah kepada gerakan Islah dan tajdid di Malaysia. Kebanyakan kolum, tajuk, tema, isu dan konsep penerbitannya sama dengan majalah Saudara, Al-Imam dan Ikhwan yang dipelopori oleh Syed Syeikh al-Hadi dan rakan-rakannya. 

 

Kembali ke Kaherah pada tahun 1889, 'Abduh memulakan perjuangan sebagai hakim dan kemudian dilantik menjadi Mufti Mesir. Di sinilah 'Abduh banyak mengutarakan pendapatnya seperti persoalan adakah orang Islam boleh makan daging yang diimport dari negara non-Islam. Menariknya Maryam, jika ditinjau daripada tulisan-tulisan 'Abduh ketika menjadi mufti, beliau banyak berbahas tentang teologi dan mula menuliskan tafsir al-Quran sendiri yang diterbitkan secara bersiri di jurnal Al-Manar, "The Lighthouse". Tafsir ini sayangnya tak sempat dihabiskan tetapi disambung semula oleh Rashid Rida. 

 

Satu perkara yang diperjuangkan oleh 'Abduh sehinggalah akhir hayatnya ialah taqlid, blind imitation. 'Abduh begitu lantang mengeluarkan masyarakat daripada kepompong taqlid yang sangat merbahaya. Hal ini sangat jelas jika kita membaca karya penting beliau iaitu, "Risalat al-Tawhid", yang bermaksud "Epistle of Unity". Dalam karya ini 'Abduh fokus kepada perbahasan iman (kepercayaan). Saya menemui suatu istilah menarik oleh 'Abduh iaitu universal faith based on reason. Kita senantiasa menganggap iman tidak pernah berhubung dengan masyarakat plural, kerana iman yang difahami hanya milik individu. Namun 'Abduh menggunakan terma universal bagi iman supaya, kata 'Abduh, iman yang ada dalam diri kita berfungsi sebagai manusia yang memberi kepada dunia. 

 

Saya akan meneruskan sedikit bacaan lagi berkaitan idea 'Abduh yang dipanjangkan oleh Rashid Rida dan 'Ali  'Abd al-Raziq. Mungkin nama-nama ini agak asas bagi beberapa orang tetapi entah kenapa saya sangat asyik membacanya. Apatah lagi membacanya daripada kacamata barat kerana sekarang yang namanya "barat" ialah negara, suasana dan sistem yang saya duduk di dalamnya. 

 

Setakat ini sahaja dahulu surat saya. Teruskan menggeledah ilmu dan menjawab soalan-soalan yang semakin menyerbu di dalam kepala fikiran kita. Biarlah kita ragu, keliru, buntu dan resah dalam mencari tahu kerana itulah jalan menuju Tuhan, menuju kebenaran. Bak kata Bertrand Russel, “The whole problem with the world is that fools and fanatics are always so certain of themselves, and wiser people so full of doubts.”

Share on Facebook
Share on Twitter
Please reload

Follow Us
Please reload

Search By Tags
Please reload

Archive
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square