© 2017, hakmilik peribadi Hafizul Faiz.  Hubungi di hafizulfaiz92@gmail.com

May 26, 2017

Please reload

Recent Posts

WATAK-WATAK DALAM DIRI YANG MEMBERONTAK

May 20, 2017

1/1
Please reload

Featured Posts

FIKAH LUAR NEGARA

May 22, 2017

 

 

Setiap kali Jumaat tiba, saya rasa sedikit lapang. Tidak perlu kalut-kalut bangun jam 5 pagi esoknya untuk lekas bersiap dan mengejar bas jam 5.44 Pagi dan terus ke perpustakaan untuk mencuci. Jumaat akan menjadikan hari saya di waktu petang sedikit berbeza. Saya keluar, melepak di kafe Kas dan Pim (dua pasangan Turki yang baru saya kenali) dan berborak dengan Frize (Barista di kafe Kas dan Pim). Yang paling menarik kafe mereka bernama "Procaffination" (Cubalah cari maksudnya apa).

 

Minggu lepas saya datang dan berborak dengan Kas tentang pelbagai perkara. Kas banyak membaca perihal eksistensialisme, dan Pim pula berminat tentang dekorasi, konsep, desain dan kedua mereka selalu menceritakan tentang dua ekor anjing mereka yang comel. Mereka memberitahu saya mereka sangat sukakan masakan Malaysia. Hari ini saya bawa rendang ayam dan nasi impit yang sempat saya masak sendiri selepas solat Jumaat tadi. 

 

Siang sudah menjadi semakin panjang dan saya sudah mula tidak biasa. Subuh jam 4 pagi dan Maghrib jam 9 malam. Selebihnya siang... siang yang panjang. Saya mengambil keputusan untuk menjamakkan solat Maghrib dan Isyak sahaja. Kak Dee pula sering tertidur menunggu Isyak kalau tidak dijamakkan. 10.30 Malam baru Isyak masuk, dan itupun mengikut kepada kiraan dan bukan kaedah cerapan. Saya pula perlu tidur awal untuk bangun awal. 

 

Ramai yang tidak tahu keharusan menjamakkan solat Maghrib dan Isyak di waktu-waktu sulit begini. Waktu Isyak yang ditetapkan oleh Central Mosque pula hanyalah kiraan berdasarkan hitungan waktu-waktu sebelumnya. Jika diperhatikan betul-betul, mega merah tidak kelihatan di langit, dan gelita pun tidak. Hanya biru kegelapan sahaja. Secara teorinya, waktu Isyak tidak ada. 

 

Perihal jamak solat ini sebenarnya agak tidak meluas diwacanakan di Malaysia. Sebab itu ramai rakyat Malaysia yang sukar bila mengembara kerana sedikit tidak tahu tentang fekah luar negara. 

 

Nasib baiklah saya pernah dan selalu juga mengembara. Ini membuatkan saya peka dengan keadaan dan perbezaan-perbezaan pendapat dalam fikah yang wujud. Hal ini menyebabkan saya sungguh tidak dapat tidak mengelak daripada taqlid kepada satu mazhab sahaja. Taqlid di sini bermaksud mengikut tanpa tahu dalil dan taqlid kepada mazhab telah diwajibkan oleh Imam al-Ghazali kepada sesiapa sahaja di dalam kitabnya al-Mustasyfa. Tetapi inilah pentingnya ilmu konteks. Al-Ghazali berbicara dalam konteks yang lain, waktu di mana semua orang punya kemampuan yang agak terhad untuk akses kepada sumber-sumber primer agama dan juga bukanlah satu budaya mereka mengembara ke luar negara. Sewaktu itu juga pelbagai pemikiran menular dan al-Ghazali mahu menyelamatkan mereka. 

 

Selepas al-Ghazali, fikah mula berkembang dan akses kepada sumber-sumber pula semakin mudah. Ibn Taimiyyah yang hidup 200 tahun selepas al-Ghazali kelihatan lebih aktif mengeluarkan fatwa-fatwa yang baru, yang banyaknya merentasi sempadan kumpulan-kumpulan mazhab. 

 

Ya, poskad kali ini sangat masak dengan perbahasan fikah. 

 

Dan tentulah yang tak dapat saya lupakan ialah Dr. Maszlee Malik. Beliaulah yang membentangkan kepada saya kaedah meneroka fikah dengan indah. Tetapi saya tidaklah menghabiskan Al-Mughniy seperti beliau dan tidaklah diiktiraf oleh mana-mana syeikh seperti iktirafnya syeikh-syeikh syariah di Jordan terhadap kesarjanaan beliau semasa beliau belajar di sana dahulu. 

 

Secara asasnya kata Dr. Maszlee, kita perlu melihat semua sumber yang ada dan kemudian pergi kepada mazhab-mazhab yang memegang sumber-sumber tersebut untuk mengeluarkan hukum. Sekiranya sumbernya lain, maka hukumnya lain. 

 

Sebagai contoh, Mazhab Hanafi tidak menerima perbuatan Jamak solat kerana bagi mereka perbuatan jamak solat bertentangan dengan ayat al-Quran Surah an-Nisa' ayat 103: "Sesungguhnya solat ialah fardhu yang telah ditetapkan waktunya." 

 

Jadi, mereka hanya menerima perbuatan jamak solat hanya ketika menunaikan haji di Arafah dan Muzdalifah sahaja (golongan hujjaj) kerana ada hadis sahih Nabi menjamakkan solat ketika waktu tersebut. jadi lihat, sumber mereka ialah ayat 103 Surah an-Nisa' ini dan hukum mereka lain. 

 

Mazhab Syi'ah pula menjamakkan solat bila tiba-tiba masa sahaja. Ini kerana mereka mengambil ayat 78 dari Surah al-Isra': "Dan dirikanlah solat pada waktu pertengahan siang hari, penghujung malam dan pada waktu fajar." Lihat sumber mereka, dan lihat pula hukum yang mereka keluarkan. 

 

Mazhab Hanafi dan Mazhab Syi'ah antara yang agak tegas dan sedikit tertutup (tanpa menafikan kesarjanaan Imam Hanafi). 

 

Teks (sumber) tidak berkembang. Tetapi konteks (keadaan) berkembang. Sekiranya konteks berkembang, maka fikah juga berkembang. 

 

Secara asasnya, kita dibolehkan melakukan jamak kerana tiga keadaan: (1) Hujan, (2) Sakit dan (3) Kesulitan tertentu. 

 

Tentang solat jamak kerana hujan dan sakit, perbahasannya agak mudah kerana keadaannya jelas. Tetapi tentang kesulitan tertentu, ini yang menjadi perbincangan dan sering diperdebatkan. 

 

Di Malaysia, kita sering didoktrinkan dengan qadha' solat. Sekiranya kita tak sempat misalnya melakukan solat pada waktu-waktu tertentu, kita teringat ustaz kita cakap, qadha' sahaja. Sedangkan qadha' solat sebenarnya bukanlah alternatif yang baik. Qadha' solat tak boleh dilakukan dalam keadaan kita sedar yang kita ini ada kewajipan solat yang mesti ditunaikan. Perbahasan tentang qadha' ini panjang dan ia di dalam tajuknya yang tersendiri. 

 

Sedangan kita ada konsep jamak yang merupakan alternatif yang lebih baik dan diamalkan oleh Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam dalam banyak keadaan. Apakah yang membezakan antara qadha' dan jamak solat? Qadha' solat kita tinggalkan solat. Jamak solat kita tak tinggalkan solat. 

 

Saya temui ramai sekali rakan-rakan khususnya doktor yang terlibat dengan praktikal yang padat dan tidak mempunyai waktu untuk menunaikan sembahyang di waktu yang ditetapkan (sebagai contoh melakukan pembedahan), memilih untuk menggantikan sahaja sembahyang. Doktrin ini katanya terlalu menular apatah lagi di sekolah-sekolah dan di peringkat-peringkat rendah lagi. 

 

Sedangkan Islam menawarkan alternatif yang lebih syariatik, iaitu menghimpunkan dua solat dalam satu masa. Sebahagian ulama' dalam Mazhab Syafi'i seperti Abu Ishak, Qaffal dan Khattabi, juga Asyhab dari Mazhab Maliki, dan juga ramai lagi golongan ahli hadis berpendapat bahawa waktu sulit boleh dilakukan jamak solat. 

 

Semua mereka berpegang kepada suatu hadis yang dilaporkan oleh Ibn Abbas di dalam Sahih Muslim, "Sesungguhnya Nabi Sallallahu alaihi wasallam pernah menjamakkan solat Zuhur dan Asar, dan solat Maghrib dan Isyak di Madinah tidak kerana musafir dan tidak kerana hujan. Lalu Ibn Abbas ditanya apakah yang dikehendaki oleh Baginda Sallallahu alaihi wasallam? Dan jawab Ibn Abbas, Baginda mahu memberikan kemudahan kepada umatnya."

 

Kerana hadis ini jugalah Imam an-Nawawi dalam al-Majmu'nya, Ibn Taimiyyah dalam Al-Qaul al-Mubin fi Akhtha'il Mushollin, Syeikh Abdul Wahab Sya'rani dan termasuklah Syeikh Atiyyah Saqr dalam Ahsanul Kalam fil Fatawa wal ahkam sepakat mengatakan adanya keharusan menjamakkan solat kerana kesulitan tertentu bergantung kepada individu. Namun ada syaratnya, iaitu tidak menjadikan ianya adat dan kebiasaan. 

 

Syeikh Yusuf al-Qaradhawi di dalam Fatawa al-Mu'asoroh  juga menerima pendapat ini bahkan menyatakan bahawa harus menjamakkan solat sambil memberikan contoh di Eropah ketika mega merahnya tidak kelihatan jelas untuk menandakan masuknya waktu Isyak, maka dibolehkan menjamakkan waktu Maghrib dan Isyak. 

 

Sekali lagi, fikah bukan untuk golongan oportunis, dan bukan untuk golongan yang bermudah-mudah. Ia bergantung kepada objektif fikah sendiri iaitu: untuk beriman kepada Allah, bukan untuk merasa senang dan bukan untuk 'asalkan buat' semata-mata. 

 

Ya, kali ini poskad menjadi poskad fikah luar negara. Letih!

Share on Facebook
Share on Twitter
Please reload

Follow Us
Please reload

Search By Tags
Please reload

Archive
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square