© 2017, hakmilik peribadi Hafizul Faiz.  Hubungi di hafizulfaiz92@gmail.com

May 26, 2017

Please reload

Recent Posts

WATAK-WATAK DALAM DIRI YANG MEMBERONTAK

May 20, 2017

1/1
Please reload

Featured Posts

SUATU PAGI, SAYA, EMAK DAN AYAH

May 22, 2017

 

 

"Cek, bangun! Mak siap dah nih."

Saya menggenyeh mata yang masih mengantuk, kemudian menarik selimut toto busuk berwarna oren, melitupi kepala.

Mak menampar punggung. "Cepat!, sat lagi ayah marah," tambahnya lagi. Mak menuang air teh o, menuang nasi goreng putih dua senduk, dan telur mata separuh masak mak letak piringnya sebelah pinggan, dibanjiri kicap dan sos. Mak terus melondehkan telekungnya dan membuka pintu belakang rumah. Bunyi pintu menggeser lantai sungguh bising dan dengan kebisingan itulah saya bangun, terduduk, dan melihat ke arah jam di tiang kayu, 5.30 Pagi.

Bunyi sok-sek sok-sek di belakang rumah mengisi kesepian pagi. Terlalu pagi. Yang ada selain bunyi kokokan ayam jantan ayam ialah bunyi kesunyian pagi yang sampai sekarang terlalu saya rindui.

Saya mandi kerbau. Cukup lima enam gayong dengan air panas yang mak jerang. Seluar dan baju sekolah mak sudah letak di atas lantai, dilapik dengan kain batik mak. Saya capai, sarung, dan terus menunaikan solat Subuh. Berdoa entah apa, saya terus menerpa ke hidangan yang mak sediakan.

Mak masuk semula ke dapur dengan pakaian menorehnya. Busuk. Mak memakai seluar yang penuh dengan gelitir getah, tudung hitam lesu yang masih busuk walaupun semalam mak baru basuh, sambil diikat di kepala mak pelita suluh dan di pinggang mak pula ubat nyamuk yang tak berasap lagi.

Mak duduk sebelah saya. Tengok saya makan sambil menambah-nambah kalau nasi goreng saya sudah habis. Bunyi geser batu pengasah mengeriau. Ayah di muka lawang, duduk bersila sedang mengasah pisau menoreh di atas alas kayu tebal.

"Hari ni kena bubuh cuka, petang ni nampak gaya macam nak hujan," kata ayah.

"Tak tau lagi tuh ayah hang," balas mak spontan. "Sat lagi lepas lembu kot tinet (1), jangan bagi mai kot sungai takut kacau mengala (2) orang. Sat lagi Sidi mai habaq kata lembu masuk mengala orang, tak dan nak pi hantaq nasi kat Paih pula dok kalut hambat balik," sambung mak lagi. Ayah diam saja dan bunyi seriau pisau menoreh bergeser dengan batu asah menggemerincing di telinga.

"Nah, pisau hang nih." Ayah bangun dan berdiri di depan pintu. Tangan ayah memegang palang pintu. Melihat langit. Melihat pagi. Melihat kesunyian dan melihat ketiadapaapaan.

Mak bangun dari bersila sebelah saya dan mencapai pisau menoreh getah yang ayah sandar di pintu.

"Berasa dok dengaq bunyi rok-rek rok-rek (3) tuh." Mak melihat pula ke arah langit. "Dia usik saja tuh," kata mak membantah. Membantah ramalan ayah. Membantah rasa risau dan gusar.

Saya letak pinggan di dalam sinki. Mak menunggu di muka pintu. Ayah merenung langit walaupun sedang berdiri betul-betul di hadapan mak. Saya berjalan ke pintu, sambil mengelap tangan di seluar sendiri. "Cepat." Mak menghulur tangan.

Saya menyalami mak. Mak menenyeh pipi saya kanan dan kiri, dan mencium pula dahi. "Belajaq elok-elok," tambah mak lagi. Mak terus berjalan ke belakang. Saya melihat mak berjalan ke arah bukit landai yang dilebati pohon para. Kebun getah lebih kurang lapan ekar itu menampakkan kemegahan, keegoan, dan ketuanannya setiap pagi. Berkabus tebal dan merimbun daun-daun hijau muda. Merengus memanggil orang-orang kampung datang mengerjakannya.

Tidak sedar saya ayah sudah menyarung jaket kelabu tahi kucingnya. Ayah memakai kasut dan berjalan ke arah motorsikal Honda Bulat. Saya segera mencari beg sekolah, menggalas dan mengejar ayah. Ayah letak motor di bangsal depan kedai runcit ayah yang berpintukan papan-papan lapis nipis.

Saya membonceng ayah, memeluk perut boroi ayah. Embun pagi yang lemah itu dirempuh ayah, dan dingin itu bagaikan jarum-jarum yang menyucuk wajah. Sekejap lagi ayah akan pulang. Ayah akan menyarung baju kemeja buruknya, seluar buruk yang bertalipinggangkan tali rafia, dan dihujungnya digantungkan ubat nyamuk. Ayah membuka bekas tembakaunya, mengambil pemetik api dan menyalakan ubat nyamuk, kemudian dikunci rapat di bekasnya. Ayah menggelintir daun rokok dengan tembakau perang, mencucuh api di hujungnya dan mencapai pisau menoreh, terus berjalan ke arah bukit yang garang, sombong dan megah itu.

Ayah akan menyertai mak. Mak akan menyertai semua orang di bukit yang lebat dengan pokok para itu. Semua orang akan menyertai kehidupan yang penuh dengan kesusahan. Dan kehidupan akan menyertai keberkatan dan kerahmatan. Dan kerahmatan Tuhan akan menyertai langit; melindungi mereka, melindungi mak dan ayah, melindungi saya, dan melindungi semua.

Akan bersambung.



Glosari:

(1) Tinet bermaksud "utara". Ke arah tinet bererti ke arah utara. Merujuk juga ke arah bukit-bukau, bukan ke arah tanah landai dan rata.

(2) Mengala bermaksud bidang tanah atau ladang, atau kebun.

(3) Rok-rek rok-rek ialah permulaan bunyi hujan menghempap atap rumbia dan zink. 

Tags:

Share on Facebook
Share on Twitter
Please reload

Follow Us
Please reload

Search By Tags
Please reload

Archive
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square