© 2017, hakmilik peribadi Hafizul Faiz.  Hubungi di hafizulfaiz92@gmail.com

May 26, 2017

Please reload

Recent Posts

WATAK-WATAK DALAM DIRI YANG MEMBERONTAK

May 20, 2017

1/1
Please reload

Featured Posts

KEPENTINGAN "AL"

May 26, 2017

 


Sekadar teguran ringkas dan sederhana. Sebaiknya diletakkan "al" kepada "quran". Dalam tulisan Bahasa Melayu kita tak nampak apa kepentingannya, tetapi dalam bahasa Arab, perkataan "al" yang ditransliterasikan daripada "ال" sangat membawa makna yang besar dan berbeza sekali dengan perkataan yang tiada "ال".

Perkataan "ال" menandakan bahawa sesuatu kalimah itu ma'rifah, diterjemahkan sebagai "definiteness", atau mudahnya sesuatu kalimah itu sangat diketahui, "known". Misalnya perkataan اله yang bermaksud "tuhan", kita tambahkan "ال" untuk menjadikanNya الله. Dalam syahadah kita menyebut لا اله الا الله, yang diikutkan terjemahannya ialah "tiada tuhan selain Tuhan", tetapi sudah ada "ال" pada اله yang kedua bererti ia sudah menjadi sangat khusus dan spesifik, berbeza dengan اله yang pertama tadi. Kita pun menyebutnya bukan lagi tuhan, tetapi Allah.

Selain membawa makna "definiteness" dan "known", kalimah ma'rifah juga membawa maksud "lengkap" atau "kesegalaan". Apabila Allah menyebut dalam Surah al-Fatihah, الحمدلله رب العلمين yang bermaksud "segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam", kita mesti meletakkan perkataan "segala puji", bukan hanya "puji" kerana di situ ada "ال" dan perkataan "segala" boleh membawa maksudnya. Begitu juga dengan "sekalian alam", kena ada "sekalian" tidak boleh hanya "alam" kerana pada ā'lamin itu ada "ال" yang membawa maksud lengkap.

Contoh yang lain agar lebih jelas ialah di Surah Al-Baqarah, ayat 126, iaitu apabila Nabi Ibrahim berdoa kepada Allah,

وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ اجْعَلْ هَٰذَا بَلَدًا آمِنًا وَارْزُقْ أَهْلَهُ مِنَ الثَّمَرَاتِ مَنْ آمَنَ مِنْهُمْ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۖ قَالَ وَمَنْ كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُ قَلِيلًا ثُمَّ أَضْطَرُّهُ إِلَىٰ عَذَابِ النَّارِ ۖ وَبِئْسَ الْمَصِيرُ

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka". Allah berfirman: (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali". (2:126)

Perkataan "بَلَدًا" yang bermaksud negeri di sini tidak ditulis dengan makrifah, iaitu tiada "ال". Sedangkan, di dalam Surah Ibrahim, ayat 35, Nabi Ibrahim berdoa kepada Allah,

وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ اجْعَلْ هَٰذَا الْبَلَدَ آمِنًا وَاجْنُبْنِي وَبَنِيَّ أَنْ نَعْبُدَ الْأَصْنَامَ

"Wahai Tuhanku! jadikanlah negeri Makkah ini negeri yang aman, dan jauhkanlah daku dan anak-anakku dari perbuatan menyembah berhala." (14:35)

Di sini Al-Quran menggunakan perkataan الْبَلَدَ iaitu makrifah. Berbeza dengan kalimah "بَلَدًا" di Surah Al-Baqarah tadi, walaupun keduanya menuju maksud yang sama iaitu negeri Mekah.

Kenapa hal ini berlaku?

Kata At-Tabari dan Ibn Katsir, ketika Nabi Ibrahim mengungkapkan doa ini yang dirakam di Surah Al-Baqarah, negeri Mekah belum siap dibina sepenuhnya. Ketika doa ini diungkap lagi dan dirakam di Surah Ibrahim, negeri Mekah sudah siap dan lengkap dibina. Itulah perbezaan kenapa digunakan makrifah, iaitu membawa maksud kelengkapan atau kesempurnaan sesuatu.

Jika kita buang "ال" ini bererti, atau dikhuatiri, dua makna besar ini iaitu "diketahui" (definiteness) dan "kesegalaan" (completeness) akan gugur. Dan al-Quran pastinya mengandungi dua sifat penting ini.

Transliterasi daripada bahasa Arab ke Bahasa Melayu harus seupaya mungkin membawa bersama kandungan hierarki maknanya, meskipun tidak dapat semua tetapi mestilah seboleh yang mungkin. Memang dalam Kamus Dewan Edisi Keempat terdapat perkataan "Quran" yang didefinisikan sama juga dengan perkataan "al-Quran' (juga terdapat dalam kamus dewan), tetapi lebih baik kita guna yang lebih dekat maknanya dengan bahasa asalnya, iaitu bahasa Arab.

Jika ada sebab dan hujah berbeza boleh dikemukakan kerana perbincangan ini tentunya menarik. Maafkan saya kerana saya tidak dapat membaca isi di dalamnya, teringin nak baca, tetapi saya duduk luar negara. Harapnya Thukul Cetak buatkan EBook, jual di Google Books atau Kindle, atau E-Sentral, untuk memudahkan akses. Jadi saya hanya mampu melihat tajuknya sahaja, dan kritikan ini hanyalah kritikan terhadap penggunaan istilah yang tertera pada tajuknya.

Apa-apapun, menulis tentang al-Quran adalah satu kemestian dan tindakan yang sangat besar manfaatnya. Terima kasih. :) 

Share on Facebook
Share on Twitter
Please reload

Follow Us
Please reload

Search By Tags
Please reload

Archive
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square