© 2017, hakmilik peribadi Hafizul Faiz.  Hubungi di hafizulfaiz92@gmail.com

May 26, 2017

Please reload

Recent Posts

WATAK-WATAK DALAM DIRI YANG MEMBERONTAK

May 20, 2017

1/1
Please reload

Featured Posts

SEBUAH INGATAN TENTANG DR. MAZA

June 1, 2017

 

 

Kali pertama saya mendengar nama Dr. Asri ialah ketika saya masih belajar di tingkatan dua. Tentunya bukan hal yang enak-enak saya dengar. Gelaran seperti "wahabi" itu sudah sebati dengan namanya sampaikan saya pun bersetuju sahaja dalam diam. Tak ada kemampuan rasional untuk bertanya. Dan tak ada kemampuan hujah untuk mempersoalkan kembali. Sebagai budak baru belajar, diam dan tak ambil pusing sangat ialah pilihan yang paling menyenangkan. 

 

Di Kedah, nama Dr. Asri tidak pernah enak. Mungkin juga kerana di Kedah ini banyak pondok, atau mungkin juga ada sebab lain selain Mufti Kedah sendiri melemparkan fitnah kepadanya [1]. Atau mungkin juga kerana beliau umpama memakuk dengan belakang lading [2]. Tetapi segala mesej dan cakap-cakap orang yang menular banyak sekali di Kedah (tak lupa juga negeri-negeri lain) tentang beliau yang dikaitkan pembawa aliran Wahabi. 

 

Hari ini pun masih menular di telefon bimbit saya tentang tanda-tanda pemikiran Wahabi di Malaysia. Antaranya kata mesej tersebut pengikut Wahabi ini hanya merujuk Albani dan Zahabi dalam hadis. Terkejut saya. Albani, meskipun ada beberapa perkara yang mungkin boleh kita persoalkan, tetap antara muhaddis besar yang tak boleh kita pertikaikan sumbangan dan ketokohannya. Begitu juga dengan Zahabi (yang ini lagilah). Tanpa kedua orang ulama' ini, barangkali tidak sempurna tradisi hadis yang sampai kepada kita hari ini. Menuduh mereka berdua sebagai Wahabi adalah kemerapuan yang teramat sangat.

 

Di sekolah jugalah ada yang sebut, antara tanda Wahabi ini ialah tidak membaca qunut dan wirid. Saya pun apa lagi, setiap kali bersolat di mana-mana masjid, sering sahaja melihat kalau-kalau ada orang yang tidak membaca wirid. Tuduhan terus menerpa dalam kepala saya, "Wahabi!". Mengenang kembali hal ini, beristighfar saya, sungguh besar dosa jika dihimpunkan tuduhan-tuduhan saya kepada mereka yang tidak bersalah itu. Terdorong kaki badan merasa. Terdorong lidah emas padahnya [3]. Semoga Allah ampunkan saya. 

 

Saya berjumpa dengan salah seorang pelajar UIAM di sebuah pondok. Lelaki berpangkat abang tersebut memberitahu saya, "UIA sekarang diserang Wahabi. Masjid pun dah Wahabi." Terkejut bukan kepalang saya mendengarnya, bagai ikan di dalam keroncong [4].

 

Allah mentakdirkan saya menjadi pelajar UIAM. Besar rahmatnya buat saya. Rupanya di sinilah akal fikiran saya dipokah, gaya fikir diperluas, dan segala cabang ilmu mula berurai-urai dalam kepala. Nama-nama seperti Prof. Dr. Israr Ahmad Khan dan Prof. Dr. Mohammed Abul Lais mula menyinggah. Saya curi-curi masuk dalam kelas mereka. Kelas hadis pertama saya gagal. Kelas hadis kedua saya dapat markah yang paling menyenangkan. Memang sengajalah Tuhan meminta saya belajar banyak kali ilmu hadis ini. Kelas hadis rupanya lebih mencabar dari kelas-kelas sastera Arab. Pernah juga terlintas dalam kepala, "Baik aku hafal syair saja berbanding belajar hadis. Lebih mudah! Belajar hadis ini bagai ingin di hati memandang pulau; sampan ada pengayuh tiada [5]."

 

Dan di sinilah pemikiran kecil saya tersaujana dengan sendirinya. Saya mula meluaskan bacaan. Sedikit sebanyak mahu memunggah semula 'cakap-cakap' orang yang bersarang sepanjang saya bersekolah dan berpondok. Saya membacalah perihal Wahabi. Membaca karya Syeikh Muhammad Bin Abdul Wahab. Mendengar satu persatu video Dr. MAZA. Membaca artikel-artikel, buku-buku; dan hampir kesemua buku beliau saya baca kecuali yang ditulis dalam Bahasa Arab yang diterbitkan di Jordan itu. 

 

Niat saya ketika menonton dan membaca beliau ialah mahu mencari di manakah sudut yang dikatakan beliau ini Wahabi. Ajaibnya, tak ada satupun yang saya jumpa. Malah, saya lebih merasai nikmat perbahasan ilmu, perbandingan fakta, pendalilan, dan begitu banyak sekali wacana yang diperkenalkan yang menarik minat saya. Rupa-rupanya, ayam hitam terbang malam, hinggap ke rimba dalam, bertali ijuk bertambang tanduk [6]. 

 

Takut juga nak tulis tentang ini. Takut dikatakan juga saya Wahabi. Sejarah pelabelan Wahabi hanyalah sejarah para penjajah dan penguasa yang takut kelesesaan kedudukannya tercabar. Label Wahabi adalah jalan paling mudah untuk menyelamatkan kedudukan, dan untuk menutup mulut para pengkritik yang tidak berdaya dilawan dengan hujah. Kerana takut tuah anjing, celaka kuda [7]. 

 

Kalau kita meninjau sejarah pertentangan Kaum Muda dan Kaum Tua, kita dapati inilah irama yang diulang-ulang oleh Kaum Tua yang sudah mendapat tempat oleh penguasa. Kehadiran Kaum Muda yang dituduh "keluar mazhab" atau "tidak hormat ulama'" semuanya dikelompokkan sebagai Wahabi supaya ia menjadi 'sebab' untuk ditentang dan disekat. HAMKA begitu banyak menulis perihal ini di dalam buku-bukunya. Baca sahaja Teguran Suci dan Jujur Terhadap Mufti Johor, Kenang-kenangan Hidup, Ayahku, dan hampir kesemua buku beliau yang berbahas seputar agama akan disebutnya tentang tuduhan-tuduhan tidak berasas ini. Semuanya kata HAMKA hanyalah cakap tong kosong [8].

 

Di bulan Ramadhan ini, bersama dengan sedikit anekdot saya ini, ingin saya menyeru supaya bulan Ramadhan kembali menjadi bulan yang disebutkan padanya al-Furqan (2:186) [9] yang bermaksud pemisah antara yang benar dan salah. Kitalah yang mesti menjadi al-Furqan kepada diri sendiri. Mencari kebenaran, bertabayyun apabila sampai sesuatu berita dan meninjau dalil dan bukti berbanding cakap-cakap orang yang penuh sangka dan duga. 

 

Tidak perlu berfanatik dengan sesiapa. Kita cuma perlu menggunakan akal yang saksama, yang tidak cepat menerima dan menolak, sebaliknya berfikir dengan akal yang sihat dan adil. Supaya kita mengati sama berat, mengukut sama panjang [10]. Kalaupun tidak kepada orang, tetapi kepada diri kita sendiri.

 

Selamat menjadi al-Furqan kepada diri sendiri di bulan Ramadhan ini. 

 

Hafizul Faiz 

1 Jun 2017

Edinburgh, UK

 

----------

 

[1] https://youtu.be/_CVTt0BmjBE (Dr. MAZA menjawab semula di https://youtu.be/_i-H2Hqvflg)

[2] Selalu memberikan pendapat yang menyanggah keselesaan pendapat yang ada. 

[3] Terlepas cakap yang membawa penyesalan diri sendiri. 

[4] Ramainya orang sakit kerana suatu pemikiran atau wabak, tak dapat diselamatkan lagi. 

[5] Mahu, tetapi tidak berdaya memilikinya. 

[6] Kejahatan yang sukar dibuktikan kerana tiada bukti atau kejahatan itu sendiri tiada. 

[7] Merugikan kedudukan sesuatu pihak, termasuklah diri sendiri. 

[8] Cakap tak ada hujah. 

[9] شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ    

Terjemahannya:  Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. (2:185)

[10] Membuat keputusan yang adil. 

Share on Facebook
Share on Twitter
Please reload

Follow Us
Please reload

Search By Tags
Please reload

Archive
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square