© 2017, hakmilik peribadi Hafizul Faiz.  Hubungi di hafizulfaiz92@gmail.com

May 26, 2017

Please reload

Recent Posts

WATAK-WATAK DALAM DIRI YANG MEMBERONTAK

May 20, 2017

1/1
Please reload

Featured Posts

BERPUASA DI EROPAH: BERBUKA WAKTU MEKAH

June 13, 2017

 

 

"Kami mahukan sedikit pencerahan." Begitulah pinta Tasnim, Ifah dan Anis Kamilin selepas mendengar Kak D bercerita yang saya berbuka puasa waktu Mekah. Ketika mereka meminta pencerahan, saya dan rakan-rakan yang lain sedang rancak berbual. Melihat mereka bertanyakan hal yang itu, Faizi tiba-tiba bertanyakan hal yang sama, katanya, "Aha, dari mana dan bagaimana yang dikatakan berbuka waktu Mekah tuh?"

 

Disebabkan soalan itu saya terpanggil untuk menulis tentangnya. Saya pernah menghantar beberapa mesej kepada Dr. Rozaimi Ramli, Dr. MAZA, dan beberapa orang yang lain supaya memberikan pandangan, atau menulis semula fatwa ini di dalam Bahasa Melayu supaya ia menjadi rujukan buat kami yang duduk di luar negara ini. Tetapi tiada sebarang maklum balas. Mungkin kerana fatwa ini hanya sekadar ijtihad atau mungkin terlalu banyak soalan yang perlu mereka utamakan. Lagi pula, mereka bukan dibayar untuk menjawab soalan saya. 

 

Kembara Ramadhan 2.0 berlangsung di Trossach, bahagian utara Scotland. Memandu dari Edinburgh selama 1 jam 40 minit dan berkampung di cottage yang disewa selama tiga hari dua malam. Ini ialah kali pertama saya menyertai program bersifat keluarga, tak ada tentatif rapat macam tamrin dan tak ada tentatif skema macam Taaruf Week. Semuanya santai-santai tetapi berisi. 

 

Disebabkan sudah menjadi kebiasaan, semua orang berbuka mengikut waktu yang biasa iaitu 9.55 malam. Saya tak pernah mengatakan apa-apa, hanya ikut dan berseronok dengan program yang disediakan. Dan tak adalah lapar sangat memandangkan program penuh dari pagi sampai ke malam. 

 

Kebanyakan mereka mempunyai anak-anak kecil yang baru sahaja belajar berpuasa. Pabila anak mereka tak cukup kuat untuk berpuasa, mereka menyuruh sahaja anak mereka berbuka dengan niat mahu menggantikannya di lain hari. Amalan qadha kerana tak tahan ini sudah sebati bagi mereka yang duduk di luar negara, khususnya di kawasan yang lebih panjang siangnya seperti di Scotland ini. 

 

Saya mengkritik tindakan itu. Bukan saya mengkritik keharusan berbuka jika sakit tetapi tindakan memberikan persepsi bahawa puasa di Ramadhan ini hanya semata-mata tentang lamanya berpuasa, tanpa menyentuh langsung makna di sebalik berpuasa. Soalan 'salah nilai' seperti "Berapa lama kau berpuasa?" terlalu menjadi kebiasaan sehingga puasa hanya semata-mata dilihat menahan diri daripada makan dan minum, tidak lebih daripada itu.

 

Samalah amalan mengqadha solat hanya kerana tak sempat menunaikan solat disebabkan kerja dan kesulitan-kesulitan tertentu yang lain. Amalan memilih qadha ini tanda bahawa kita bersikap tak ambil tahu perihal agama kerana di sana, agama menyajikan alternatif yang serba sempurna seperti menjamakkan solat kerana kesulitan tertentu. Menjamakkan solat lebih diutamakan daripada mengqadha solat. Qadha hanya dibuat apabila kita sudah tak berdaya untuk melakukannya seperti pengsan, koma, atau tertidur dan sebagainya. Qadha tak boleh buat kalau kita masih ada pilihan yang lain. 

 

Begitu juga dengan berpuasa ini. Adanya fatwa berbuka waktu Mekah, meskipun terdengar begitu asing, tetapi memberikan alternatif kepada mereka yang baru menjinakkan diri dengan Islam. Ketepikan orang Islam yang sudah biasa seperti golongan Pakistan dan Arab yang sudah biasa berpuasa selama 18 jam, mereka memang tak ada masalah. Tetapi golongan muallaf, kanak-kanak, pelajar-pelajar yang kali pertama berpuasa lama begitu, tentu menyusahkan dan menyukarkan mereka. Sheikh Dr. Usama Hasan menyuarakan kebimbangannya ketika mendengar laporan mengatakan ramai sekali kanak-kanak dihantar ke hospital kerana sakit perut lantaran berpuasa terlalu lama. 

 

Memandangkan hal ini, kita perlu review semula konsep puasa di Eropah agar ia menepati apa yang Allah perintahkan di penghujung ayat 185 Surah al-Baqarah, "Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran." Dan untuk memastikan analisa ini tepat dan menyeluruh, beberapa soalan mesti dikemukakan (ini ialah soalan yang muncul dari pihak saya yang sedikit ilmunya, moga Allah bimbing saya), antaranya ialah:

 

(1) Masihkah relevan tempoh berpuasa bagi seseorang sekiranya ia sudah mencapai tahap kesukaran seperti sakit dan sebagainya? (2) Perintah puasa diturunkan di Mekah dan Madinah, juga di negara-negara awal yang memeluk Islam yang waktu siang dan waktu malam mereka normal dan seimbang, iaitu 12 jam siang dan 12 jam malam (lebih kurang), adakah ia tetap dianggap normal di negara yang siangnya panjang dan malamnya pendek, seperti di sini siangnya 19 jam dan malamnya 5 jam sahaja? (3) Adakah di sana ada alternatif dan kelonggaran tentang perubahan waktu ini? 

 

Bagi menjawab persoalan ini, kita perlu melihat semula waktu berpuasa itu sendiri. Waktu berpuasa ini berkait dengan waktu sembahyang. Kita mula berpuasa pada waktu Subuh dan berbuka pada waktu Maghrib seperti yang umum diketahui. Maka, sekiranya mahu kita review tempoh berpuasa, kita perlu review waktu solat juga kerana disitulah pokok perbahasan. 

 

Di manakah dalil yang menunjukkan waktu solat ini? Banyak hadis membicarakan tentang waktu solat tetapi yang paling masyhur ialah hadis yang terdapat di dalam Sahih al-Bukhari iaitu:

 

حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْلَمَةَ، قَالَ قَرَأْتُ عَلَى مَالِكٍ عَنِ ابْنِ شِهَابٍ، أَنَّ عُمَرَ بْنَ عَبْدِ الْعَزِيزِ، أَخَّرَ الصَّلاَةَ يَوْمًا، فَدَخَلَ عَلَيْهِ عُرْوَةُ بْنُ الزُّبَيْرِ، فَأَخْبَرَهُ أَنَّ الْمُغِيرَةَ بْنَ شُعْبَةَ أَخَّرَ الصَّلاَةَ يَوْمًا وَهْوَ بِالْعِرَاقِ، فَدَخَلَ عَلَيْهِ أَبُو مَسْعُودٍ الأَنْصَارِيُّ فَقَالَ مَا هَذَا يَا مُغِيرَةُ أَلَيْسَ قَدْ عَلِمْتَ أَنَّ جِبْرِيلَ نَزَلَ فَصَلَّى، فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ثُمَّ صَلَّى فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ثُمَّ صَلَّى فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ثُمَّ صَلَّى فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ثُمَّ صَلَّى فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ثُمَّ قَالَ ‏ "‏ بِهَذَا أُمِرْتُ ‏"‏‏.‏ فَقَالَ عُمَرُ لِعُرْوَةَ اعْلَمْ مَا تُحَدِّثُ أَوَإِنَّ جِبْرِيلَ هُوَ أَقَامَ لِرَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَقْتَ الصَّلاَةِ‏.‏ قَالَ عُرْوَةُ كَذَلِكَ كَانَ بَشِيرُ بْنُ أَبِي مَسْعُودٍ يُحَدِّثُ عَنْ أَبِيهِ‏.‏ قَالَ عُرْوَةُ وَلَقَدْ حَدَّثَتْنِي عَائِشَةُ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ يُصَلِّي الْعَصْرَ، وَالشَّمْسُ فِي حُجْرَتِهَا قَبْلَ أَنْ تَظْهَرَ‏.‏

 

Maksudnya:  Telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Maslamah berkata; Aku membacakannya di hadapan Malik dari Ibnu Syihab bahwa ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz pada suatu hari mengakhirkan pelaksanaan solat. Kemudian ‘Urwah bin Az Zubair datang menemuinya dan mengabarkan kepadanya bahwa Al Mughirah bin Syu’bah pada suatu hari juga pernah mengakhirkan solat, dan saat itu dia tinggal di ‘Iraq. Kemudian Abu Mas’ud Al Anshari datang menemuinya seraya berkata, “Apa yang kamu lakukan ini wahai Al Mughirah? Bukankah kamu telah mengetahui bahwa Malaikat Jibril shallallahu ‘alaihi wasallam pernah turun kemudian melaksanakan salat, kemudian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam juga ikut melaksanakan solat? Kemudian Jibril solat lagi dan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam juga ikut solat kembali? Kemudian Jibril solat lagi dan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam juga ikut solat kembali? Kemudian Jibril solat lagi dan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam juga ikut solat kembali? Kemudian Jibril solat lagi dan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam juga ikut solat kembali. Kemudian Jibril berkata, “Inilah waktu-waktu yang diperintahkan kepadaku untuk menyampaikannya kepadamu” ‘Umar lalu berkata kepada ‘Urwah, “Ketahuilah apa yang kamu ceritakan! Sesungguhnya Jibril datang untuk menjelaskan kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tentang waktu- waktu salat.” ‘Urwah berkata, “Begitulah adanya bahwasanya Basyir bin Abu Mas’ud menceritakan dari bapanya. 'Urwah berkata, ” Aisyah isteri Nabi menceritakan kepadaku bahwa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah melaksanakan salat ‘Ashar, ketika sinar matahari masih ada dalam rumahnya sebelum bayang dinding rumah beliau kelihatan”

 

Namun, setiap teks perlu dilihat dalam konteksnya. Hadis yang berkaitan waktu sembahyang ini ialah teks yang juga terikat kepada konteks. Konteksnya ialah Mekah dan Madinah yang waktu siang dan waktu malamnya normal sahaja. Teks perlu diinterpretasi semula sekiranya konteks berbeza. 

 

Ibn Hajar al-'Asqalani menyebutkan di dalam Fath al-Bari, "Teks perlu ditafsirkan mengikut keadaan yang normal, bukan keadaan yang tidak normal." (Rujuk Fath al-Bari 2/62). Ibn 'Abdin, tokoh ulama' yang terkenal dari Mazhab Hanafi menuliskan di dalam bukunya, Rad al-Muhtar 'ala al-Dur al-Mukhtar (2/123), "Teks secara umum perlu dirujuk kepada apa yang kebiasaan, bukan kepada apa yang bukan kebiasaan dan apa yang tidak diketahui." Hal ini turut disentuh juga oleh Ibn Taimiyyah dalam Mukhtasar al-Fatawa al-Misriyyah beliau. Kata beliau:

 

"Waktu solat yang diajar Jibril kepada Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam, yang mana Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam pula mengajar para sahabat yang dirakamkan oleh para Ulama' hanyalah merujuk kepada hari-hari yang normal. Ia akan berbeza pada hari yang Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam sebut panjangnya umpama satu tahun (hadis akhir zaman). Sekiranya hal ini berlaku maka Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam menyuruh mengagak waktu solat."

 

Menyandarkan kepada prinsip inilah Syeikh Muhammad Abduh (Meninggal 1905M) ketika menjadi Mufti Besar Mesir menfatwakan (hal ini dirakam oleh anak muridnya Rashid Rida di dalam Tafsir Al-Manar): "Arahan menunaikan solat ialah bersifat umum dan waktu solat yang ditentukan oleh Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam sesuai dengan konteks negara-negara yang seimbang waktu siang dan malamnya, yang merupakan majoriti di dunia ini. Inilah norma yang digunakan sehinggalah Islam akhirnya menjejak negara-negara yang siangnya lebih lama dari malamnya. Muslim yang tinggal di negara ini diharuskan mengagak waktu solat bergantung kepada sebab-sebab peribadi sebagai analogi kepada agakan waktu solat di dalam hadis dajjal (merujuk kepada hadis dajjal seperti yang dirujuk juga oleh Ibn Taimiyyah)."

 

Syeikh Mahmud Shaltut, bekas Imam Besar al-Azhar menuliskan di dalam Fatawa beliau, "Tidak ada keraguan yang menyatakan waktu solat pada waktu siang dan malam dan bulan dalam satu tahun itu mengikut cara yang mana telah diketahui dan diikuti dari satu generasi ke generasi yang lain, adalah berdasarkan pengaturan masa negara-negara dengan waktu yang seimbang. Negara-negara ini merupakan sebahagian besar dunia. Apabila hukum agama telah digubal, orang ramai tidak tahu bahagian-bahagian dunia di mana tahun ini dibahagikan ke dalam satu hari dan malam, atau di mana waktu siang lebih panjang daripada malam sehingga malam sangat pendek, atau sebaliknya." 

 

Merujuk kepada konsep inilah, Dar al-Ifta al Misriyyah (Fatwa nombor 2806) menfatwakan bahawa diharuskan untuk mereka yang berpuasa di negara yang tidak normal waktu siang dan malamnya mengikut waktu berbuka di Mekah. Hal ini kerana Mekah itu sendiri ialah tanah turunnya wahyu, dan Allah sendiri telah mencipta Mekah bukan hanya sebagai negara kiblat, tetapi tempat untuk kita tuju; tuju di sini juga boleh dikategorikan sebagai tempat yang menjadi sumber rujukan, bukan hanya tuju naik haji atau sebagainya. 

 

Masjid di Oulu, Finland, juga di Belgium, telah menggazetkan waktu Mekah sebagai waktu rasmi bagi sebulan berpuasa kerana didapati sukarnya untuk mengikut waktu yang biasa. Ini sangatlah memudahkan para jemaah Muslim di sana dan berpuasa tidak hanya menahan lapar dan dahaga, tetapi mengisinya dengan aktiviti yang memburu keberkatan Ramadan itu sendiri. 

 

Sebelum itu, saya ingin mengingatkan jugalah bahawa yang dikatakan mengikut waktu Mekah itu bukan hanya mengikut waktu berbuka di Mekah, sebaliknya ikutlah juga waktu solat di Mekah supaya kita tidak terkeliru, dan konsep solat terawih jadi lebih mudah dan praktikal kerana Isyak masuk lebih awal dan kita boleh berehat lebih lama untuk mula bertugas semula esoknya. 

 

Apa-apapun, fatwa ini bukanlah keutamaan, hanyalah pilihan. Sesiapa yang mahu terus mengikut waktu yang sedia ada tiada masalah. Sesiapa yang mahu ikut fatwa ini, juga tiada masalah. Fatwa ini hanyalah ijtihad para ulama'. Apabila ruang ijtihad terbuka, ruang berbeza pandangan pun akan terbuka, dan di sinilah kita dilatih untuk saling hormat-menghormati kerana diakhirnya, kita berpuasa hanyalah kerana Allah yang sama, Allah Yang Esa. 

 

Sumber fatwa berkaitan berbuka waktu Mekah ini boleh didapati di:

  1. Ar: http://www.dar-alifta.org/ViewFatwa.aspx?ID=2806
    En: http://www.dar-alifta.org/ViewFatwa.aspx?ID=2806&Home=1&LangID=2
    Fr: http://www.dar-alifta.org/ViewFatwa.aspx?ID=2806&Home=1&Home=1&LangID=3

Share on Facebook
Share on Twitter
Please reload

Follow Us
Please reload

Search By Tags
Please reload

Archive
  • Facebook Basic Square