© 2017, hakmilik peribadi Hafizul Faiz.  Hubungi di hafizulfaiz92@gmail.com

May 26, 2017

Please reload

Recent Posts

WATAK-WATAK DALAM DIRI YANG MEMBERONTAK

May 20, 2017

1/1
Please reload

Featured Posts

MENGENALI DR. MASZLEE

July 20, 2017

 

 

 

"Minggu depan kita akan ada peperiksaan pertengahan semester."

 

Tiba-tiba sahaja hari ini dr. mengumumkan berita mengejutkan ini. 

 

Kelas pertama dan terakhir saya dengan Dr. Maszlee Malik ialah introduction to fiqh, atau dalam bahasa Arabnya, al-madkhal ila al-fiqh. Semua pelajar yang mengambil jurusan Bahasa Arab wajib mengambil subjek ini sebagai subjek sampingan. Subjek ini ditawarkan dalam dua bahasa, satunya bahasa Inggeris yang hanya boleh diambil oleh pelajar-pelajar jurusan Sains Kemanusiaan. Dan satu lagi bahasa Arab yang mesti diambil oleh pelajar Ilmu Wahyu dan Bahasa Arab. 

 

Sebelum ini saya mengenali Dr. Maszlee hanya melalui televisyen dan radio. Beberapa kali beliau muncul menjadi panel menerangkan tentang politik, syiah, dan juga isu-isu global terrosism. Tetapi yang lebih membuatkan Dr. Maszlee terkenal ialah keterlibatan beliau di dalam senarai forum bertopikkan politik di Wacana Sinar Harian. Beliau menjadi moderator yang sangat memeriahkan (dan memedaskan) suasana majlis. 

 

Saya langsung tidak terfikir yang beliau bukan hanya pensyarah di Jabatan Sains Politik, rupanya juga merupakan pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh. Bererti, beliau berkhidmat di dua jabatan serentak. Di Jabatan Politik, subjek-subjeknya akan diajar di dalam bahasa Inggeris dengan pendekatan yang setanding dengan pelajar-pelajar jurusan ini. Dan di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, semua subjeknya akan diajar di dalam bahasa Arab dengan pendekatan yang berbeza dengan pelajar jurusan Sains Politik. 

 

Sungguh, tak ramai pensyarah yang boleh mengajar dalam dua bahasa dan dalam dua jabatan serentak. 

 

Lima tahun di sekolah menengah, dua tahun lebih kurang di sekolah pondok, tidak pernah saya mengenali fiqh seperti mana saya mengenalinya di dalam kelas al-madkhal ila al-fiqh yang diajar oleh Dr. Maszlee. Saya masih ingat lagi, di kelas pertama, dr. menerangkan satu perkara yang sangat menjadi masalah bagi semua orang; iaitu beza antara syariah dan fiqh. Perbezaan kedua terminologi ini perlu jelas kata dr., supaya kita tak keliru; tak membawa agama dengan keliru dan tak keliru dalam beragama. 

 

"Baik semua. Hari ini kita akan ada peperiksaan pertengahan semester," kata dr. dalam bahasa Arab dan terus bangun berjalan ke arah pintu dan menguncinya. Sesiapa yang lewat walaupun seminit duduk luar. 

 

Hari yang dinantikan telah pun tiba. Berdebar!

 

"Keluarkan kertas dan ini soalannya." Dr. bangun dan menulis sesuatu di papan putih. 

 

"Tuliskan 10 perkara yang kamu belajar di dalam kelas ini!" 

 

Saya memandang Mujahid. Mujahid memandang saya. 

 

"Ini sahaja ke dr. soalannya?" Saya cuba berbasa-basi bertanya. 

 

"Nak lagi ke?" jawab dr. garang. Saya terus geleng kepala dan menjawab soalan 'peperiksaan pertengahan semester' ini. 

 

Habis kelas saya rancak berfikir dan berbual dengan Mujahid. Kenapa soalan peperiksaan pertengahan semester tadi hanya itu? 

 

Saya berkongsi hal ini kepada Ustaz Zahiruddin Zabidi. Jawab ustaz mudah sahaja, itulah maksud pendidikan. Dr. Maszlee mahu melihat sejauh mana pelajar-pelajarnya belajar dan memahami subjek yang diajarnya, dan dalam masa yang sama mendorong pelajar menggunakan kreativiti yang luas dalam menghadam setiap point dan memuntahkannya semula. 

 

Dalam kelas dr. tak ada soalan yang jawapannya hanya "ya" dan "tidak". Tak ada soalan yang jawapannya hanya "boleh" dan "tidak boleh". Kelas tempat berbincang dan memerah akal fikiran. 

 

Oh saya lupa! Bukan hanya dalam kelas sahaja. Kesemua momen saya dengan dr. tak ada polarisasi sebegini. Semuanya diskusi, wacana dan dialog. 

 

 

Wacana Sarapan Pagi

 

Setiap pagi, seawal jam tujuh pagi saya sudah bergerak ke Kafe HS. Sudah menjadi tabiat saya, bangun Subuh dan tidak tidur selepas Subuh. Saya terus bersiap dan bertapa di Kafe HS. Saya suka dengan kebekuan pagi. Bagi peminat sastera seperti saya; kesunyian pagi ialah rahim kata-kata. 

 

Semenjak saya tahu roti canai mamak Kafe HS boleh dapat seawal itu, dan di Kafe HS juga banyak pilihan untuk bersarapan, di situlah saya melepak setiap pagi. Dan di situ jugalah saya bertemu dengan Dr. Maszlee semula. Dan di situ jugalah bermulanya siri-siri 'kelas pagi' saya dengan beliau. 

 

Kadang-kadang, kami ditemani oleh Dr. Wan Azam, Ustaz Abdullah Bukhari, juga beberapa orang pelajar yang datang awal dan bersarapan di situ. Kadang-kadang ada pelajar cina muallaf dan kadang-kadang ada pegawai pejabat pos. Kadang-kadang kami melepak dengan makcik pencuci dan kadang-kadang dengan Abang Sarim technician universiti. Kadang-kadang, dengan mamak penebar roti canai pun kami sembang. 

 

Dr. Maszlee tak pernah kekok dan sangat peramah. Sebelum membeli apa-apa makanan, atau paling tepat membelanja saya, beliau akan berjalan dahulu ke semua kafe dan bersapa dengan penjaganya. Bertanya khabar dan bersembang hal-hal yang biasa. Bila sudah tawaf semua, baru beliau beli makanan dan baru kami duduk dan mula bersembang. Banyak topik melintang rentas, pergi ke Barat balik ke Asia Tengah, dan kadang-kadang berehat sebentar di nusantara. Bertenggek dengan sejarah, menyinggah sebentar di dunia politik sebelum berehat semula di wacana seputar hal-hal agama. 

 

Di media sosial, saya tahu, tak ramai yang mengenali Dr. Maszlee sepenuhnya. Mereka cuma mengenali Dr. Maszlee sebagai dr. yang cakapnya pedas di dalam forum dan beliau punyai pandangan politik tersendiri. Bagi penganut jemaah Islam, mereka tidak selesa dengan idea ummah centric yang dikemukakan. Bagi penganut parti politik pula, mereka tidak selesa dengan idea good governance dan civil society  yang dikemukakan. (Rujuk Menuju Sejahtera Meraih Bahagia: 16). Hanya sesiapa yang mendekati sahaja akan mengenali. Kata pepatah, hanya jauhari yang mengenal manikam. 

 

 

Agama: Antara Nilai & Prinsip

 

Memahami agama sehingga ke akar umbi hanya akan memeningkan sekiranya konsep umum dalam beragama gagal kita kuasai. Seperti memahami agama hanya dengan buku maza ya'ni, memahami sirah hanya dengan fiqh sirah, dan memahami fardhu ain dan fardhu kifayah pula hanya melalui silibus usrah jemaah, semuanya mendatangkan suatu hal yang bermasalah dalam beragama iaitu: uniformity, yang bermaksud "keseragaman" dalam beragama. 

 

Mentaliti beragama yang betul hanyalah cara beragama geng pondok kita, geng parti kita, geng aliran kita, dan geng usrah kita, telah mewujudkan keseragaman yang mencetekkan wacana agama. Seolah-olah, kita telah membentukkan agama sebagai suatu pakaian yang seragam dan mesti dipakai oleh sesiapa sahaja yang mengaku beragama Islam. Sekiranya mereka mengaku Muslim tetapi tidak memakai pakaian seragam tersebut, kita akan menganggap mereka 'kurang' beragama, atau paling teruk, 'gagal' dalam beragama. 

 

Bermulalah suasana prejudis dalam beragama. Menghukum dan mula membahagi-bahagikan orang mengikut sangkaan beragama kita yang sempit. 

 

Perkara ini terlalu mengekang saya. Sejarah hidup saya yang ringkas ini, belajar hanya dengan satu aliran hampir-hampir membenihkan cara beragama yang sempit dan sehala. 

 

Mentaliti beragama saya berubah banyak setelah mendekati Dr. Maszlee. Orang yang paling mudah akses, sentiasa melayan soalan-soalan bodoh saya, suka mengajak saya keluar makan dan minum, tak pernah membina gap sehingga saya merasa sungguh selesa berada bersama beliau, inilah yang merombak mentaliti beragama dalam kepala saya. 

 

Saya masih ingat lagi ketika saya bertanya kepada dr. perihal liberalisme, pluralisme, sekularisme, dan banyak lagi isme-isme yang lain, dr. menerangkan dengan sangat adil dan objektif. Di dalam usrah jemaah, kita hanya didedahkan bahawa semua isme ini adalah musuh agama. Kita meletakkan kesemua idea ini sebagai musuh total dan perlu ditentang habis-habisan. 

 

Dr. menerangkan kepada saya bahawa agama ini ada form dan ada pula substance-nya. Banyak perkara daripada form-nya mungkin bertentangan dengan agama, tetapi nilai (substance) yang dibawa itu selari dengan apa yang dibawa oleh agama. 

 

Bila menyebut tentang demokrasi misalnya, kita kena faham demokrasi bukan diciptakan oleh Islam tetapi nilai yang ada dalam demokrasi, selari dengan nilai yang dibawa oleh Islam. Begitu juga dengan isme-isme yang lain. Nilai yang ada di dalam isme-isme tersebut, ada dalam nilai yang dibawa oleh agama Islam. 

 

"Agama nih mudah saja. Ada prinsip dan ada nilai. Kedua-keduanya sangat penting dalam memahami agama." Dr. Maszlee menerangkan sambil saya menghabiskan lasagna Syria yang dibelanjanya. 

 

"Timbul sahaja apa-apa isu, perkara pertama kena buat ialah letakkan isu itu di tempat yang betul; adakah ia di dalam soal prinsip, atau ia di dalam soal nilai. Contoh mudah, tutup aurat ialah prinsip, tetapi nilainya ialah kebebasan fesyen dalam bertudung," sambung dr. lagi. 

 

"Ramai orang gagal mengisi nilai kerana terlalu mementingkan prinsip. Sedangkan keduanya perlu selari. Sebagai contoh lagi, seorang lelaki berprinsip mahu menjaga pandangannya sampaikan dia menjadi lelaki yang pasif, bertegur sapa pun tidak, bersenyum apatah lagi. Berjalan hanya tunduk kepala. Sedangkan nilai yang indah dalam agama ini ialah saling bertegur sapa, senyum, menghormati antara satu sama lain. Mana tahu kot-kot ada orang perempuan nak tanya pasal assignment ke. Terlalu menjaga prinsip sampai bercerai-berai nilai akan menjadikan kita cacat dalam beragama." Puas dr. menerangkan. Secawan teh habis diteguk kami berdua. 

 

Konsep ini nampak mudah sahaja tetapi saya gagal memperolehinya sebelum bertemu dengan dr. Dengan konsep ini, saya melihat agama dengan sangat tersusun. Tahu dimana perihal thawabit dan tahu di mana perihal khilaf. Tahu dimana nak bersatu dan tahu pula dimana nak berlapang dada. 

 

 

Dr. Maszlee dan HAMKA

 

HAMKA dengan saya begitu erat. Separuh fikiran saya diisi oleh HAMKA. Pemikirannya, karya-karyanya, juga segala perihal tentangnya, begitu ranum dalam kepala. Saya mengenali HAMKA sebelum saya mengenali Dr. Maszlee lagi. 

 

Beberapa artikel saya buat hanya berkisarkan tokoh ini. Tak kurang juga kertas kerja yang tak ada dana nak bentang. Begitu juga diskusi tepi sungai teh tarik UIAM yang begitu banyak membahaskan karya HAMKA dari novelnya sampailah kepada karya-karya ilmiahnya. 

 

Sewaktu itu, tak banyak karya HAMKA dapat saya akses. Hanya novelnya dan beberapa buah buku agama beliau, dan tafsir beliau sahaja. Saya tak pernah menahu HAMKA ada teori sejarah kedatangan Islam ke nusantara yang menarik. Tak pernah tahu konsep bahasa dan idea HAMKA tentang bahasa Melayu di dalam al-Quran. Segalanya tersangat asing. 

 

"Dr. Saya mahu memahami sejarah Islam dengan baik. Nak dapat big picture. Macam mana ya?" soal saya petang itu sambil berjalan menemani dr. menuju ke pejabatnya. 

 

"Bagus nih. Cuba cari buku Sejarah Umat Islam karya HAMKA. Sangat bagus untuk permulaan membaca sejarah Islam," jawab dr. spontan. 

 

Saya terkejut. 

 

"Dr. membaca HAMKA?" tanya saya semula. 

 

"Tokoh penting nusantara tuh. Kenalah baca," jawab dr. lagi. 

 

Rupa-rupanya, Dr. Maszlee sudah mendalami HAMKA dan idea-idea penting HAMKA. Termasuklah idea kenegaraan, politik, falsafah, dan juga agama. Dr. Maszlee juga tak pernah lekang membaca novel-novel HAMKA. 

 

Dr. Maszlee ialah agamawan dan ilmuwan pertama yang saya temui tidak hanya menekuni karya-karya ilmiah, tetapi juga menguliti karya-karya sastera dengan mendalam sekali. Beliau membaca kesemua karya Paulo Coelho. Karya-karya Albert Camus, George Orwell, Hemingway, memang dalam kepalanya. Tak usah sebut tentang alfu lailah wa lailah, Taha Hussein, Naquib Mahfuz, Bintu Syati', semuanya akan mengundang satu jam lagi perbualan. Sasterawan tanah air yang paling beliau gemari ialah Azizi Haji Abdullah dan beliau juga mengenali secara peribadi arwah Azizi.

 

Kami pernah membahas karya-karya arwah Azizi lebih dari dua jam. 

 

Tidak hanya membaca, beliau juga menulis novel. Jika mahu mencari sebuah novel yang sesak dengan wacana ilmiah, bacalah "Shqiptar di Champ Elysees" (2016). 

 

Tidak tahulah saya di Malaysia ini adakah lagi ilmuwan yang membaca sastera dan menekuni sastera? 

 

Saya masih ingat lagi, Ramadhan 2016, Dr. Maszlee menganjurkan kuliah secara mingguan di kediamannya dengan membahaskan buku HAMKA berjudul Tuntutan Puasa, Tarawih & Shalat Aidilfitri. 

 

 

Fitnah

 

"Teruk dr. kena." Saya menghantar mesej ringkas setelah mendapat khabar buruk berkaitan fitnah yang dilemparkan oleh pihak-pihak tertentu terhadap buah bicara dr. di forum berjudul "Deceitful? Distracting? Or Dedicated? Evangelicals and Current Controversies" tempoh hari. Ini semua berlaku apabila portal berita Menara.my memetik berita tanpa konteks dan terus menyebarkannya. 

 

Berbondong-bondonglah orang yang selama ini memang membenci dr. datang, menggunakan peluru yang sedia ada dan terus menembak. 

 

"Biasalah," balas dr. Ringkas tetapi saya tahu apa perasaan kena fitnah dan dikecam dengan sangat meluas di media sosial. 

 

Ada yang menfitnah, sampai mengeluarkan dr. daripada agama Islam, menuduh murtad, kafir dan sebagainya. 

 

Kebanyakan yang menfitnah, atau setuju dengan fitnah tersebut, mengatakan dr. menghina Nabi Allah. Saya tahu apa yang berlaku kerana saya cukup mengenali Dr. Maszlee. Hal ini jugalah yang beliau ajar kepada saya; segala teks mesti datang bersamanya konteks supaya kita tak jadi harfiyah atau literal. 

 

Bagaimana ayat 191 Surah al-Baqarah menjadi pegangan puak ISIS untuk terus membunuh orang kafir, begitulah juga bahananya mengambil teks tanpa konteks. Teks 191 daripada Surah al-Baqarah ialah ayat perang yang sangat terikat dengan konteksnya, jika tidak ia berbaur keganasan yang melampau. 

 

Begitulah juga dengan perkataan "sainthood" yang sangat terikat dengan konteksnya, iaitu 'kenabian' versi Kristian, bukan kenabian versi Islam. Jika kita cakap nabi bagi Kristian, dalam kepala mereka ada Jesus, bukan Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam. Bingkai kefahaman audien sangat perlu difahami bagi memberikan definisi kepada setiap perkataan yang dikeluarkan. 

 

Tetapi itulah fad de jou (trend zaman kini -- perkataan ini pun Dr. Maszlee yang beritahu) yang suka mengambil teks tanpa konteks sehingga apa sahaja wacana jadi rosak dan caca merba. Memahami konteks di sebalik teks sangatlah asas tetapi inilah yang paling jarang diamalkan, terutama sekali oleh media-media yang hanya mencari berita sensasi. 

 

Hal ini sukar dijelaskan kerana kebanyakan pembaca di media sosial tidak selera menerima penjelasan versi ilmiah. Mereka hanya mahu membaca sekiranya ada bauran sindir, kecam, label, marah atau sedih. Kalau fokus kepada fakta tanpa ada bauran-bauran emosi, yang get the point-nya sangatlah minima. 

 

Sebab itu ada dr. dan prof. yang menulis macam ilmiah tetapi bauran emosinya bersepah. Sindir, kecam, gelar, perkataan-perkataan kotor dikeluarkan dengan sangat bersahaja walaupun mereka mewakili 'jemaah' Islam mereka. Kerana hal itu mendapat sorakan, tepukan, sokongan yang bertubi-tubi. 

 

Ini zaman media sosial yang sangat parah. Dunia yang kita hidup pada hari ini ialah dunia yang penuh kekeliruan. Melihat kepada isu-isu yang berlaku di Malaysia mahupun di seluruh dunia, telahan Imran N. Hosein di dalam bukunya Surah al-Kahf and The Modern Age sangat tepat. Oh, sebelum itu lagi Abul Hasan ali an-Nadwi sudah membahaskannya di dalam buku beliau al-sira' baina al-iman wa al-maddiyyah. 

 

Ini dunia yang sudah 'dajjalik' meskipun dajjal tidak datang lagi. 

 

Siapapun kita, bergelar tok guru, dr., prof, presiden parti, ustaz, syeikh, maulana: akhlak beragama adalah asas kepada segalanya. Orang biasa yang memberikan pandangan yang 'kurang cerdik' bagi kita tetapi bahasanya sungguh beakhlak, jauh daripada menggelar dengan gelaran yang buruk, mengecam, menyindir dan menghina, jauh lebih murni dan 'beragama' daripada agamawan dan ilmuwan yang memberikan pandangan seribu ulama', tetapi akhlak bahasanya rosak, tidak selari dengan tuntutan Surah al-Hujurat. 

 

Sebagai Muslim, kita akan berbeza dan perbezaan itu mesti ada kerana agama kita bukan agama 'pakaian seragam'. Tetapi ada perkara yang kita akan bersatu, iaitu akhlak dan etika beragama. Tiada siapa boleh berbeza atau menawarkan wacana baru yang mengharuskan tindakan menggelar, mencaci, menghukum, mengkafirkan dan menyindir ini kerana inilah asas menjadi Muslim. 

 

Fitnah telah mengetepikan semua ini. Media sosial tidak mempunyai filter ini. Semua orang bebas bercakap dan menulis sehingga asas agama sudah hilang. Maka, khilaf tak akan pernah diuruskan dengan baik kerana ia bukan lagi tentang faham atau tidak, tetapi ia ialah tentang 'bagaimana' perbezaan itu diambil dan dicernakan. 

 

Saya sentiasa mendoakan Dr. Maszlee sihat dan tenang kerana begitulah sifat dr. tenang dan sentiasa gembira meskipun dikecam seluruh dunia.  

 

 

 

Share on Facebook
Share on Twitter
Please reload

Follow Us
Please reload

Search By Tags