© 2017, hakmilik peribadi Hafizul Faiz.  Hubungi di hafizulfaiz92@gmail.com

May 26, 2017

Please reload

Recent Posts

WATAK-WATAK DALAM DIRI YANG MEMBERONTAK

May 20, 2017

1/1
Please reload

Featured Posts

Hubb (Sebuah Cerpen Cinta)

October 16, 2017

 

 

El Nino benar-benar menyengat. Jalan dari Menara Alor Star menuju Stadium sedikit sibuk kerana dihalang oleh dua simpang empat. Muhammad Darul Asyiq menguatkan penghawa dingin. Kereta mengambil laluan kiri. Lebih selamat. 
    "Kau bawa kad matrik tak? Dapat potongan 50 peratus. Aku dah ingatkan banyak kali tadi." Suara Zahanis memecah sepi. 
    Darul Asyiq membelok ke kiri. Keadaan lengang. Darul Asyiq memarkir di depan pintu masuk. Tiada siapa yang datang ke Muzium Negeri Kedah pada waktu remang begini. Hanya mereka berdua. Barangkali. 
    "Kau memang tak boleh panggil aku abang ke?" Darul Asyiq menutup penghawa dingin, radio dan mematikan enjin. 
    "Hello! Kita kawan enam tahun, kahwin baru tiga hari. Kau nak expect apa?" Zahanis mencapai beg galas bercorak vintage peta dunia lama di tempat duduk belakang. Melihat wajahnya di cermin sisi sebelum bingkas melulu keluar. 
    "Tapi kita kan dah sah menjadi suami isteri. Mana ada suami-isteri panggil kau aku." Darul Asyiq tidak mengalah. Tangannya cekatan membalas beberapa pesanan dan langsung menyimpan telefon bimbit ke dalam poket sejurus menekan penggera kunci kereta automatik. 
    Zahanis tidak mengendahkan. Sudah melulu menaiki tangga menuju ke kaunter. Skirt labuh coklatnya terselak sedikit. Darul Asyiq merenung lama sebelum berlari anak mengejar isterinya. 
    "Mana ada isteri tinggalkan suaminya di belakang." Darul Asyiq mengusik. 
    "Minta kad matrik kau." Zahanis membuat-buat muka monyoknya. Tahi lalat kecil yang tersangkut di bawah bibir sebelah kanannya dikerling Darul Asyiq. 
    Zahanis melibas beg galasnya hingga terkena lengan Darul Asyiq. "Jom. Ikut sini. Kita tengok filem pendek dulu. Filem pendek ini adalah teaser kepada pameran 1001 Inventions semasa Zaman Keemasan Islam."
    "Mana ada isteri yang libas begnya sampai terkena suami sendiri." Darul Asyiq membuntuti dari belakang. Dan kadang-kadang sengaja melagakan badannya dengan Zahanis. 
    Filem pendek selama tujuh minit itu ditonton bersama. Hanya mereka berdua di ruang teater itu. Kemudian pegawai bertugas memandu mereka ke arah galeri pameran. 
    "Jadi, zaman kegelapan Eropah ialah zaman keemasan Islam?" Darul Asyiq sengaja mencuit pengetahuan isterinya. 
    "Boleh dikatakan begitu. Namun, tidak dinafikan di Eropah juga terdapat ciptaan-ciptaan daripada tokoh Muslim. Andalusia berperanan. Cordoba dan Sicily membantu. Itu semua pintu masuk keemasan Islam ke dalam kegelapan Eropah, dan lantas mencerahkan." Zahanis berjalan perlahan supaya berada tepat di sebelah bahu suaminya. 
    Darul Asyiq seakan membisik. "Oh, seperti masuknya keemasan cintaku ke dalam hatimu, dan lantas mencerahkan?" Zahanis menjeling dan berjalan lebih cepat menuju ke galeri pertama. 
    "Kau tahu siapakah orang pertama yang mengetahui bagaimana darah manusia mengalir di antara jantung dan paru-paru? Orangnya ialah Ibn al-Nafis. Beliau mengkaji banyak tulisan purba Yunani dan bertugas di hospital yang sangat sibuk pada waktu itu, iaitu di Kaherah. Ini buku beliau, "Sharh Tashrih al-Qanun". Buku ini telah menerangkan dengan tepat bahagian dari sistem kardiovaskular yang melibatkan jantung dan paru-paru. Teori Ibn al-Nafis mudah. Darah mengalir keluar dari satu ruang pada jantung ke paru-paru, dan kemudian mengalir ke ruang jantung yang lain untuk mengalir ke seluruh badan." Zahanis tidak lelah menerangkan. Darul Asyiq mendengar tekun. Mereka sama-sama melihat muka depan buku "Sharh Tashrih al-Qanun" dan juga grafik teori pendarahan oleh Ibn al-Nafis pada abad ke-13. 
    Darul Asyiq menyentuh grafik tersebut. "Jadi William Harvey yang mendapat pujian sebagai orang pertama yang menemukan bagaimana darah kita beredar pada tahun 1628 sebenarnya bukanlah orang pertama?" 
    Zahanis menggeleng. "Mungkin kita boleh katakan William Harvey dipengaruhi oleh karya Ibn al-Nafis. Yang bagusnya, beliau melengkapkan penemuan Ibn al-Nafis ini."
    Mereka beremba berjalan ke bahagian perubatan. Petugas yang mungkin sebaya dengan mereka memandu arah. Zahanis cepat melangkah. Shawl labuh hijau tuanya tidak sedikit pun mengganggu. Kemas dililit. Darul Asyiq mengekor dari belakang. Matanya mengekor lebih tajam dari kakinya.
    "Cuba kau bayangkan, hari ini kita sudah menggunakan pisau bedah, gergaji dan pengikis bedah, gerudi dan forsep bedah, bahkan banyak lagi alat pembedahan yang lain. Kau tahu? kesemua alat bedah itu tidak berubah banyak sejak dari ia diciptakan oleh Al-Zahrawi ini. Beliau dikenali sebagai Albucasis di Barat." Zahanis berdiri di sisi potret Al-Zahrawi dan menunjukkan tangan lagak pembaca berita. Comel!
    Darul Asyiq terkekeh ketawa. "Jadi puan, boleh beritahu saya apakah pendekatan yang digunakan Al-Zahrawi ini?"
    "Begini Encik Darul Asyiq yang tak asyiq sangat pun. Al-Zahrawi adalah pakar pembedahan dan, yang ini sangat mengujakan, beliau juga seorang inovator perubatan. Beliau banyak mencipta alat-alat baru khususnya dalam bidang pembedahan. Al-Zahrawi telah merekodkan sejumlah besar teknik dan pengetahuannya tentang perubatan di dalam 30 jilid ensiklopedia beliau yang berjudul "Al-Tasrif". Beliau menggeledah banyak teknik pembedahan purba dan memodenkannya pada zamannya, iaitu pada abad ke-10 di Sepanyol. Di dalam magnum opus-nya itulah Al-Zahrawi menerangkan bagaimana perihal pembetulan bahu terkehel, menetapkan tulang patah di-acuan plaster, menggantikan gigi yang hilang dengan replika, dan yang paling menarik, ah seronoknya, beliau beberapa kali cuba untuk merawat kanser yang kita hanya dengar tentangnya pada hari ini. Yang paling mengasyikkan wahai Encik Darul Asyiq, Al-Zahrawi telah dilantik sebagai doktor istana kepada pemerintah negeri-negeri Muslim Sepanyol. Karya beliau kemudiannya dirujuk, diterjemah dan dikaji di seluruh dunia." Zahanis mengepal mulutnya dan mengangguk beberapa kali sebelum keningnya diangkat menunjukkan ruang kepada suaminya jika ada lagi persoalan. 
    Darul Asyiq tidak mengalah. "Puan, Al-Zahrawi pernah tak discover bagaimana merawat penyakit kanser hati? Sebab hati saya telah dimamah oleh hati puan yang bercakap ini." Zahanis menahan gelak dan tidak melayan. Mereka berpapasan bergerak ke bahagian seterusnya. 
    Darul Asyiq berhenti tepat berhadapan dengan replika sebuah roket. "Aku rasa aku akan ke bintang. Lagari Hasan Celebi akan bawa aku ke sana. Evliya Celebi telah mencatatkan bahawa Lagari Hasan Celebi ialah orang pertama yang membuat penerbangan berkuasa roket ke langit pada abad ke-17, di Turki." 
    Zahanis mampir. "Roket yang direka Celebi sangat hebat. Berisi serbuk pistol dan dapat menujah dengan tinggi. Dan Celebi boleh mengawal sayapnya sendiri. Namun, Celebi akhirnya terjunam ke dalam Bosphorus. Beliau mendapat ganjaran berupa seuncang emas dan pangkat tentera untuk lagak ngeri beliau itu." Suara Zahanis semakin menghilang serentak dengan langkahnya yang semakin deras meninggalkan Darul Asyiq dalam keasyikan. 
    Zahanis berhenti di hadapan gambar salah satu muka surat dari buku karya Al-Sufi, "Book on the Constellations", buku tentang buruj dan bintang.
    "Zah, ini bererti setiap tamadun ada impian untuk meneroka angkasa bukan?" Darul Asyiq bertanya dari belakang.
    Zahanis tidak menoleh. "Betul. Buku ini telah memberi nama Arab kepada 48 corak bintang klasik. Pada abad ke-17, data Al-Sufi akhirnya muncul dalam tulisan Arab pada glob cakerawala di Eropah. Satu-satunya buku yang ditulis selepas Ptolemy pada abad ke-2 mencatat 48 buruj bintang dalam The Almagest beliau." Zahanis melangkah ke belangkang selangkah sebelum menyambung, "Penerokaan ke angkasa ini sebenarnya bermula sejak Khalifah Al-Ma’mun memulakan tradisi balai tinjau Muslim pada abad ke-9 lagi. Beliau mengasaskan balai tinjau pertama di Gunung Qasiyun, Damsyik. Kemudian ditubuhkan lagi balai-balai tinjau di bandar-bandar besar termasuk Isfahan, Samarkand dan Istanbul. Semuanya bertujuan untuk mengkaji bintang."
    Darul Asyiq memegang bahu Zahanis. "Kau tahu Zah? ada lagi yang lebih tinggi dari bintang dan lebih mustahil untuk diteroka."
    Zahanis mengerutkan wajah. "Apa?"
    "Cintaku padamu." Zahanis melakonkan wajah loya dan meleraikan tangan Darul Asyiq dari bahunya. 
    Mereka membelok ke kanan. Muzium begitu padat dengan pameran, gambar dan replika-replika. Banyak selok-belok. Mereka mengikut tanda yang ditampal bagi memudahkan pergerakan. 
    Darul Asyiq menggenyehkan matanya. Zahanis melihat. "Kenapa kau?"
    "Aku terlupa bawa kacamata. Aku rabun dekat. Tapi tak teruk sangat." Darul Asyiq berdiri di sebelah Zahanis. Ruang agak sempit. Mereka berlaga bahu. 
    "Mungkin kau ada masalah katarak. Jom kita jumpa Al-Mawsili. Ikut aku!" Zahanis berjalan laju ke suatu bahagian. Tertera grafik mata dan tulisan asal Al-Mawsili.
    "Ini sumbangan yang besar juga dalam bidang perubatan. Al-Mawsili ini dari Iraq. Beliau telah menulis Buku Pilihan Rawatan tentang Penyakit Mata, "Book of Choices in the Treatment of Eye Diseases". Al-Mawsili telah menerangkan konsep kekaburan mata, rabun, dan masalah katarak. Bahkan, beliau juga telah mencipta jarum yang berlubang yang boleh dimasukkan ke dalam mata untuk menyedut katarak. Tentang trakhoma dan glaukoma, penyakit mata yang berjangkit itu juga diterangkan oleh Al-Mawsili. Hebat kan?"
    Darul Asyiq mengangguk. Zahanis sudah pergi. 
    "Cepat, kita ada banyak lagi bahagian." Zahanis berhenti di suatu gambar lukisan berjubah biru dan berserban putih sedang memegang semacam peranti pintar. 
    "Ini Al-Jazari. Nama penuhnya Badi al-Zaman Abu al-‘Izz Isma’il ibn al-Razzaz al-Jazari. Beliau mencipta jam yang terperinci dengan menggabungkan mekanisme dari seluruh dunia. Bukan hanya jam, beliau juga membangunkan eksperimen membina peranti berkuasa air. Dengan eksperimen ini beliau mengemukakan aplikasi sistem engkol dan rod penyambung yang hari ini sangat penting kepada pam dan enjin. Ini semua boleh kita baca dalam buku beliau, Book of Knowledge of Ingenious Mechanical Devices yang siap ditulis pada tahun 1206."
    Darul Asyiq melepaskan lelah dan merungut manja. "Nasiblah aku. Siapa suruh kahwin dengan pelajar graduan dalam bidang sejarah dan peradaban." Zahanis tidak peduli. 
    Zahanis berlari-lari anak. "Cepat. Kita hampir tiba ke penghujung. Sedikit sahaja lagi." 
    "Tunggulah. Mana ada isteri lari laju dari suaminya." Darul Asyiq memilih jalan pintas. Mereka tiba serentak di depan replika kincir angin. 
    "Oh. Seribu tahun yang lalu, Al-Masudi telah menulis tentang kincir angin yang pernah dilihatnya di Iran dan Afghanistan. Tulisan itu akhirnya berkembang sehingga para peladang pun menggunakan kincir angin seperti yang dirakamkan Al-Masudi." Darul Asyiq meniru gaya percakapan isterinya. Tanpa dia sedar Zahanis tidak berada di sebelahnya. 
    Darul Asyiq melilau sekitar. Mencari Zahanis. Selepas beberapa kali berkeliaran di bahagian akhir galeri itu, barulah terlihat Zahanis sedang berdiri di depan lukisan Al-Wasiti yang terhimpun di dalam karya Hariri berjudul "Maqamat". Lukisan berupa beberapa orang tua yang sedang berbincang di bawah himpunan buku. 
    "Kau pergi mana? Puas aku cari." Darul Asyiq sengaja merapati Zahanis. Melagakan bahu.
    Zahanis memijak kaki suaminya. "Jangan mengada. Aku telah hilang. Huh. Sesat di dalam House of Wisdom."
    "Jadi. Inilah yang dikatakan Bayt al-Hikmah, nama perpustakaan universiti kita itu. Ditubuhkan oleh Khalifah Harun al-Rashid dan dikembangkan oleh anaknya, Khalifah al-Ma’mun. Begitu?" Darul Asyiq bertanya. 
    "Betul. Di sinilah tempat segala ilmu bercampur, berkahwin, bergaduh dan di sinilah pusat ilmu berkembang. Segalanya di sini. Sehinggalah ia diranapkan oleh Hulagu Khan yang kejam." Zahanis menerangkan. 
    "Zah, setakat manakah kesan House of Wisdom ini terhadap dunia, khususnya Eropah?"
    "Soalan kau ini aku boleh buat kuliah satu hari. Senang cakap, kita tengok dari segi perkataan sahaja. Ia sudah memadai. Terlalu banyak perkataan Bahasa Inggeris yang diambil daripada perkataan Bahasa Arab. Misalnya perkataan cheque berasal dari perkataan sakk yang bermaksud perjanjian untuk melunaskan bayaran. Perkataan traffic berasal dari perkataan taraffaqa yang bermaksud berjalan bersama-sama di sepanjang jalan dengan perlahan. Dan juga crimson yang berasal dari qirmizi. Cottan berasal dari qutn, maksudnya kapas mentah. Sofa pula dari suffah yang bermaksud takhta pemerintah. Dan kelab yang kau ghairah sangat itu pun, arsenal berasal dari perkataan Dar as-Sina’a. Bukan hanya Bahasa Arab sahaja yang mempengaruhi Bahasa Inggeris, Hindi dan Parsi juga. Misalnya perkataan orange berasal dari perkataan parsi, naranj. Perkataan shampoo pula dari perkataan champo dalam bahasa Hindi."
    "Wow. Hebatnya isteri aku." Darul Asyiq terbeliak. Zahanis menyiku suaminya.
    "Zah, kau tahu dari mana datangnya perkataan hubb yang bermaksud love dalam Bahasa Inggeris?"
    "Aku tahu. Dari perkataan hope kan?" 
    "Salah." Darul Asyiq menggeleng.
    "Habis tuh?" Soal Zahanis.
    "Dari hatiku kepada hatimu." Darul Asyiq merenung Zahanis manja. Zahanis mencebik.
    "Jom balik. Lapar air kelapa tepi Jalan Mergonglah." Darul Asyiq beredar dan menarik tangan Zahanis. 
    "Baiklah… bang." Zahanis menutup mulutnya. Malu!

 

 

TAMAT

 

 

Share on Facebook
Share on Twitter
Please reload

Follow Us
Please reload

Search By Tags
Please reload

Archive
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square